Tuesday, March 25, 2008

Siapa punya telinga....


Saya mesti membuat satu pengakuan ini.... Saya tidak sempat membuat posting di sini sebagaimana yang saya janjikan kepada kawan-kawan sebab saya sering tersangkut di laman-laman seperti Malaysia-Today.net, Malaysiakini.com dan Othermalaysia.org. Teringin juga nak membaca semua artikel dalam Malaysiakini.com yang English punya tapi takde peruntukanlah untuk itu.... Ada sesiapa yang loaded yang bermurah hati nak selesaikan 'masalah' ni untuk saya? Hehehe

Baiklah. Saya mau tanya ni... Sedia?

Anda ada telinga? Cuba raba tengok? Atau pi bercermin kalau tu dua telinga masih sangkut di tempatnya? Ada kan?

Kalau ada, apakah kata Alkitab kepada setiap orang yang mempunyai telinga?

Baca Wahyu 2:7,11,17 dan Wahyu 3: 5,12,21

Ada tertulis dalam ayat-ayat ini bahawa sesiapa yang punya telinga harus mendengar apa yang dikatakan Roh kepada jemaat-jemaat.

Saya tidak mahu berdebat dengan golongan cendikiawan Kristian yang mengatakan sekarang ini Tuhan tidak lagi "bercakap" kepada manusia seperti dulu sebab wahyu bertulis (Alkitab) sudah lengkap diturunkan kepada kita. Kalau Alkitab bilang "Siapa bertelinga hendaklah ia mendengarkan apa yang dikatakan Roh kepada jemaat-jemaat...", maka begitulah itu. Bagus lagi golongan ini ajak saya pergi makan Tom Yam daripada ajak berdebat dalam hal ini.

Betulkah Tuhan masih bercakap-cakap kepada kita?

Kalau bilang "bercakap-cakap" dengan Tuhan itu memberi gambaran yang kita bercakap-cakap dengan Tuhan tentang Liga English..Liga Eropah, tentang wayang Narnia dan Iron Man yang akan datang... Saya tidak selesa menggunakan istilah Tuhan "bercakap-cakap" dengan kita sebab Dia tidak pernah bercakap tentang Liga Inggeris atau benda-benda yang seperti itu dengan saya. Cuma sekali tu, saya betul-betul meminta dari Dia yang Mahakuasa supaya German menang ke atas Itali semasa Piala Dunia hari tu... tapi saya rasa Dia lebih minat dengan pasukan Italy bah... (hahaha)

Kita mesti hati-hati bila bercakap tentang "mendengar suara Tuhan" ini. Jangan sampai kita meletakkan diri kita setaraf dengan nabi-nabi dan rasul-rasul Tuhan zaman dulu. Silap-silap ada yang disambar petir atau ditelan oleh tanah nanti... Dijauhkanlah kiranya bala dan tulah yang seperti itu daripada kita...

Tapi ada ayat-ayat yang menyuruh kita untuk mendengar suara Roh kan? Mungkin saja Tuhan tidak akan bercakap-cakap dengan kita tentang Liga Inggeris tentang bagaimana cantiknya jaringan-jaringan si Wayne Ronney atau betapa hensemnya Christiano Ronaldo (kalau saya wanita saya pasti tergila-gila ...oops ke situ pula haha) tapi cukup jelas Tuhan ingin berkomunikasi dengan kita dan kita perlu peka dengan apa yang hendak disampaikanNya.

Persoalannya: Bagaimana mahu mendengar? Bagaimana mahu mengenal suaraNya?

Ada tiga suara yang sering mempengaruhi kita setiap hari. Suka atau tidak suka, mahu atau tidak mahu, sedar atau tak sedar. ketiga-tiga suara ini sentiasa mempengaruhi kehidupan anda dan saya.

Apakah tiga suara ini?

1. Suara sendiri
2. Suara Iblis
3. Suara Roh/Tuhan

Bagaimana kita tahu yang berbisik di hati kita tu berasal dari Tuhan dan bukannya dari diri kita sendiri dan lebih teruk lagi, bukan berasal dari si Jahat @ Penyesat @ Iblis?

Suara sendiri adalah fikiran dan pertimbangan peribadi. Contoh dalam Alkitab adalah seperti

1. Bisikan hati/fikiran Nebukadnezar sewaktu berfikir tentang pencapaian dan kebesarannya (Daniel 4: 30)
2. Fikiran Orang kaya yang bodoh yang bangga dengan kekayaannya (Lukas 12: 19)

Suara Iblis atau suara roh-roh jahat yang diutus Iblis pula adalah suara yang mahu menyesatkan kita, mendorong kesombongan kita dan yang memutarbelitkan Firman Tuhan.

1. Iblis menyesatkan perhatian Hawa dengan memutarbelitkan Firman Tuhan (Kejadian 3: 1 banding dengan Kejadian 2: 16-17. Baca juga Matius 4: 5-6)
2. Iblis mendorong kesombongan dalam hati Hawa dengan mengatakan Hawa akan jadi sama seperti Tuhan sekiranya dia memakan buah terlarang itu (Kejadian 3: 5)

Kita perlu sangat berhati-hati sebab Iblis juga pandai guna Firman Tuhan untuk menyesatkan kita. Ada tertulis Iblis juga menyamar sebagai malaikat terang (2 Korintus 11:14)

3. Suara Tuhan pula adalah bisikan hati, suara hati, suara yang kedengaran yang bersesuaian dengan ajaran Firman Tuhan, bila ditaati akan memuliakan Tuhan dan pasti akan memberkati sesama manusia.

Bagaimana untuk mengecam suara Tuhan?

Sekurang-kurangnya ada 6 cara yang disebut dalam Alkitab tentang bagaimana seseorang itu dapat mendengar suara Tuhan.

1. Melalui Firman Tuhan yang kita baca (2 Timotius 3:16-17)
2. Melalui bisikan Roh (Yohanes 14:26) yang memperingatkan kita Firman yang sudah kita baca dan tersimpan dalam hati (Mazmur 119:9-11)
3. Melalui suara yang kita dengar (Yesaya 30:21)
4. Melalui orang lain (1 Petrus 4:11). Ini melalui hamba Tuhan yang berkhutbah, kongsi Firman Tuhan atau orang yang Tuhan utus untuk bercakap kepada kita secara peribadi.
5. Melalui keadaan (Roma 8:28) Tuhan juga berkata-kata sesuatu kepada kita melalui keadaan. Ini memerluka kedewasaan dan kepekaan terhadap Roh Kudus di tahap tertentu.
6. Melalui mimpi (Kisah Para Rasul 2: 17. Contoh Kejadian 41 )
7. Melalui penglihatan (Kisah Para Rasul 2: 17 banding Kisah Para Rasul 10: 9-16,16: 9)

Ada tiga syarat untuk mendengar suara Tuhan

1. Hidup dalam pengampunan dan penyerahan setiap hari. Pengampunan dari Tuhan dan saling mengampuni sesama manusia sangat penting untuk dapat mendengar suara Tuhan.
2. Hidup dalam sikap yang takut akan Tuhan Allah.
3. Hidup dalam kepenuhan Roh Kudus.

Disiplin untuk mendengar suara Tuhan.

Saya memilih disiplin nabi Yeremia untuk pelajaran ini. Yeremia sangat peka dan sangat jitu dalam soal mendengar suara Tuhan. Perhatikan keyakinannya dalam Yeremia 26: 15

Yeremia berkata "...Tuhan benar-benar mengutus aku kepadamu..."

Bagaimanakah dia boleh begitu pasti dan yakin? Dia boleh begitu yakin sebab

1. Yeremia telah dipilih Tuhan (Yeremia 1: 5)
2. Yeremia hidup menikmati Firman Tuhan (Yeremia 15: 16)
3. Yeremia hidup dalam doa (Yeremia 23:18,22)
4. Yeremia mengamalkan puasa (Yeremia 36:6)
5. Yeremia menyembah dan menantikan Tuhan setiap pagi (Ratapan 3: 21-26 banding Markus 1:35)

Tidak ada jalan pintas untuk dapat mengenal dan mendengar suara Tuhan. Untuk mengenal seseorang itu kita perlu meluangkan masa dengan orang itu. Demikian jugalah dengan Tuhan. Kita perlu bergaul dengannya dalam masa teduh peribadi dalam berdoa dan penyembahan peribadi. Firman Tuhan diumpamakan benih, tidak ada benih yang tumbuh membesar dan berbuah dalam sekelip mata. Dalam proses masa, dalam pimpinan Roh Kudus dan kerendahan hati di pihak kita maka benih Firman akan bercambah, berakar , bertumbuh dan berbuah dalam kehidupan kita.. Buah yang akan tinggal tetap, buah yang akan mempermuliakan Tuhan dan memberkati manusia. ...

Apa yang saya dapat kongsikan di sini adalah perjalanan hidup saya selama baru 24 tahun berjalan bersama Dia. Doa dan harapan saya, apa yang saya post kali in dapat membantu ramai orang. Sebarang pertanyaan, sila masukkan ke bahagian komen di bawah ini.

God bless you all!!




7 comments:

JaLynAy said...

Syalom Pastor,

Sangat menarik artikel Pastor kali ini. Soal bagaimana untuk mengenal suara Tuhan itu memang penting untuk diketahui, kerana Tuhan menjawab dengan pelbagai cara yang berbeza dan (daripada pengalaman saya sendiri) cara yang langsung tidak terjangka. Sebagai orang Kristian, kita harus peka tentang hal ini. Cuma mungkin satu hal yang ingin saya tambah, tentang hal mendengar suara Tuhan secara langsung, ada baiknya suara itu harus diuji (1 Tesalonika 5:21). Adakala kita sebagai manusia sukar untuk mengenalpasti itu memangnya jawapan dari Tuhan atau tidak, makanya harus untuk kita pohon dari Tuhan petanda-petanda konformasi bahawa itu sememangnya itu Tuhan yang berbicara dan menjawab sesuai dengan kehendak dan rencana-Nya.

Sekali lagi, terima kasih buat artikelnya. Tuhan berkati.

Perisai dan Pedang said...

Betul. Suara tu kena uji dulu. Langkah-langkah mengujinya ada saya berikan. Langkah selanjutnya ialah meminta nasihat dari orang-orang Kristian yang matang dalam perkara ini. Apatah lagi kalau anda mimpi jumpa bakal jodoh... Aduhh, adakah itu dari Tuhan atau hanya sekadar mainan tidur? Jauh sebelum saya jumpa isteri saya, saya telah bermimpi jalan sama-sama dia beberapa kali. Biar betul....kan? Betul.....

Anonymous said...

halo pastor..
terima kasih kerana blog ini..akhirnya sy faham..tqtqtqtq..

Anonymous said...

hi pena rajawali apa lama jg baru ko update blogs ko ya.. btw great posting.. kerja rumah dah siapkah? Baptisan RK.. he..he..

eyanzie_beyen said...

syalom pastor..thanks for the artikel
sangat memberkati saya..God love us

Floria said...

That's very nice article. We need to listen and know whether the voice if of God or not. I discussed it with my husband too. We have to pray about it.

Thanks.

Perisai dan Pedang said...

Terima kasih untuk semua komen.

Ada seorang kawan menambah 1 lagi suara yang selalu mempengaruhi kita iaitu "suara orang lain". Dalam artikel ini suara orang lain itu boleh diletak di bawah "suara Iblis atau roh-roh jahat" atau "di bawah suara Tuhan". Sebab Tuhan atau Iblis akan menggunakan saluran manusia juga utk berkomunikasi dengan kita. Contoh yang sangat jelas adalah di Matius 16:16-17 dan Matius 16: 22-23. Satu ketika Petrus di pakai Tuhan untuk sampaikan suaraNya, seketika selepas itu Petrus tanpa sedar dipakai Iblis untuk sampaikan suaranya kepada Yesus. Daripada kasus ini saya masih berpegang kepada "Tiga Jenis Suara" saja..

God bless you all