Monday, February 09, 2009

Ya untuk Yesus , tidak untuk Alkitab (?)

Saya ada seorang sahabat baik. Dia mempunyai seorang teman lelaki. Teman lelakinya ini mengaku seorang Kristian dan mengaku percaya Yesus tetapi tidak dapat menerima Alkitab sebagai Firman Tuhan. Baginya Alkitab itu sudah tidak asli lagi. Dia berpendapt Alkitab sudah banyak mengalami perubahan dalam peredaran zaman. Perubahan yang telah berlaku disebabkan oleh banyaknya terjemahan dan tidak kurang pula terjemahan yang dibuat manusia untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.

Memang ada pihak yang telah cuba untuk mengubah dan menambah Alkitab. Beberapa yang saya ingat sekarang adalah Kumpulan Saksi-saksi Yehovah yang mempunyai "Alkitab" sendiri. Dalam salah satu penulisan mereka yang saya pernah baca, mereka mengatakan Yesus merupakan jelmaan salah seorang malaikat! Kita tidak dapat menerima Kitab Yehovah Witnesses sebagai sahih. Satu lagi pihak yang sudah jauh terkeluar dari akidah Kristian adalah orang-orang Mormon. Mereka mendasari iman mereka pada Kitab Mormon yang dikatakan telah jatuh dari langit. Kumpulan ini juga terkenal dengan amalan poligaminya. Kedua-dua Saksi-Saksi Yehovah dan Mormon ini mengaku mereka hidup berpandukan Firman Tuhan yang sebenar dan mereka tidak akan mengenal lelah untuk "mengkristiankan" orang-orang Kristian. Sasaran mereka adalah orang-orang yang rajin ke gereja apalagi orang-orang yang berjalan dengan Alkitab di tangan. Tidak ada gunanya berdebat dengan orang-orang dari golongan ini. Mereka sudah terlatih untuk berdebat dan petik-petik ayat. Orang yang tidak rajin membaca dan menyelidiki Alkitab akan sangat mudah terpengaruh.

Tapi benarkah Alkitab yang ada pada kita sekarang sudah tidak boleh dipercayai lagi?

Saya mahu bandingkan Alkitab dengan beberapa tulisan kuno yang diterima sebagai berwibawa dan menjadi rujukan untuk mengkaji dunia di zaman silam. Saya mahu ambil dua contoh sahaja.

1. Herodotus of Halicarnassus.
484 BC–c. 425 BC. Dia dianggap sebagai "Bapa Sejarah". Dia merupakan ahli sejarah yang mengumpul bahan sejarahnya secara tersusun. Salinan awal kepada karyanya adalah dalam tahun 900 m. Jarak masa di antara penulisan dan salinan awal adalah selama 1300 tahun. Jumlah salinan yang ada sampai pada hari ini hanya 8.
2. Buku Gallic War oleh Julius Ceasar. Ditulis sekitar tahun 58-50 sm. Salinan terawal yang ditemui adalah sekitar tahun 900 m. Jarak masa di antara tahun penulisan ada selama 950 tahun. Jumlah salinan yang ada sampai pada hari ini hanya ada 9-10 salinan. Tulisan ini diterima sebagai sah dan berwibawa bila bercakap tentang sejarah yang berkaitan dengan orang Rum.

Karya Herodutus dan Julius Ceasar di terima sebagai sah dan berwibawa sampailah ke hari ini.

Bagaimana pula dengan Alkitab khususnya Perjanjian Baru?

Perjanjian Baru ditulis sekitar tahun 40-100 m. Salinan terawal dalam tahun 130 m. Salinan manuskrip Perjanjian Baru yang lengkap dalam tahun 350 m. Jarak masa adalah 300 tahun sahaja. Jumlah salinan yang ada pada kita? Ada lebih 5000 salinan dalam bahasa Yunani, 10,000 salinan dalam bahasa Latin dan 9,300 dalam bahasa-bahasa lain.

Kalau penulisan lain yang jarak masa sangat jauh dengan jumlah salinan yang sedikit di terima sebagai sah sehingga hari ini, kenapa mempertikaikan kesahihan Perjanjian Baru yang jarak masa penulisan dan salinan awal jauh lebih dekat dan jumlah salinan-salinan yang boleh dikatakan sebagai 'menggunung'?

Pertimbangkanlah!

Saya hairan kalau ada orang yang mengaku percaya kepada Yesus tetapi tidak percaya dan tidak dapat menerima Alkitab.

Bukankah Alkitab berkata "Jadi, iman timbul dari pendengaran, dan pendengaran oleh firman Kristus". (Roma 10:17)

Saya harap tulisan ini sedikit sebanyak masuk akal dan masuk hati....

2 comments:

Anonymous said...

Saya juga heran Pak, kalau mereka tidak percaya Alkitab, lalu Yesus mana yang mereka percayai? Bukankan Yesus yang kita percayai adalah Yesus yang ada dalam Alkitab?.

Salam Kasih Kristus,
Nelson Saragih - Medan-Indonesia
Renungan Kristen
http://www.renungan-kristen.4christ.info

Dave said...

Betul kata saudara! Saya pernah jumpa rakan yang kata, Alkitab itu menunjukkan kita kepada Yesus! Jadi yang pentingnya Yesus, bukanlah Alkitab...

Jawab saya "Macam mana awak tahu siapa Yesus kalau bukan Alkitab?"

Yesus ada keutamaan dari aspek kepentingan, kalau kena pilih juga, maka lebih mustahak mengenali Yesus daripada menghafal Alkitab misalnya...

tapi untuk mengenali Yesus dalam sejarah (bukan dlm hayalan) kita perlukan dokumen paling awal iaitu Perjanjian Baru