Wednesday, March 11, 2009

Di persimpangan iman...


Akhir-akhir ini ada beberapa orang sibuk mempertikai tentang istilah ‘Allah’ yang tidak boleh digunakan oleh non-Muslim. Sebelum saya lahir ke dalam dunia, orang-orang Kristian di Sabah sudah lama menggunakan sebutan itu untuk Tuhan. Kalau pada nama Allah ada pertaubatan dan jalan keselamatan, mengapa melarang orang lain daripada menggunakannya? Saya rasa Tuhan sendiri merasa hairan bila melihat gelagat sesetengah manusia yang cuba "membela Tuhan'. Manusia tidak perlu membela Tuhan, Dia dapat membela diri-Nya sendiri. Manusia itulah yang memerlukan pembelaan. Dalam posting kali ini saya mahu bercerita pengalaman peribadi saya sewaktu saya mencari Siapa sebenarnya Tuhan itu...
Saya harap tulisan saya ini tidak disalahmengerti atau sengaja disalahertikan sebagai “menghina” pihak tertentu. Jauh daripada itu. Sahabat yang saya anggap paling karib pun adalah seorang Muslim. Malangnya kami sudah putus hubungan sejak Tingakatan 4. Saya respek sangatlah kawan yang saya panggil sebagai 'Nat' itu. Saya respek keluarganya. Walaupun saya tak sempat bertandang ke rumahnya di Langkawi, tetapi melihat foto keluarganya saya tahu keluarga ini bukanlah calang-calang dari segi ikatan keluarga. Saya terharu pada suatu hari sewaktu keluarganya menghantar Nat kembali ke asrama, saya ternampak Nat mencium tangan abahnya. Jauh dalam hati kecil saya, saya merasa cemburu melihat keakraban dan kemesraan keluarga itu. Masa itu kami baru tingkatan 1. Bukan itu saja, malah saya sangat menghormati kawan saya ini sebab dia sajalah dari antara ramai kawan yang pernah berkata “Joe, hari ini Ahad kan? Awat hang tak pi church?Hang kan seorang Kristian?” Saya tersentuh dengan pertanyaan itu... Saya menghadapi kesulitan ke gereja pada hari Ahad pada masa itu sebab hari Ahad merupakan hari persekolahan di negeri kedah. Saya ingat lagi sewaktu di sekolah rendah kami belajar “Sivik”. Dalam kelas sivik, kami di ajar untuk saling menghormati budaya dan kepercayaan sesama rakyat Malaysia. Saya dapati brother ini kaya dengan siviknya. Pertanyaannya itu telah mencetus beberapa pertanyaan dalam diri saya “Kenapa saya tak ke gereja? Tapi ke gereja itu untuk apa? Adakah saya ini seorang Kristian? Apakah yang membuat saya ini seorang Kristian?” Setahu saya, saya hanya di lahir dalam keluarga yang mengaku sebagai orang-orang Kristian. Tetapi pada masa itu “haram apa-apa pun aku tak tau " (ini loghat Kedah..)
Saya memperhati kawan-kawan sekeliling saya. Mereka semua orang yang baik-baik. Ada la beberapa kes budak nakal, saya pun pernah didera orang itu, mata saya merah ditumbuk sewaktu saya masih sedang tidur. Ada juga seorang senior yang memaksa saya berinjut @ ketok-ketampi sebanyak 1000 kali. Ya .. SERIBU kali. Tapi pada keseluruhannya mereka ini baik-baik belaka. Saya tidak berdendam.
Satu hal yang saya perhatikan pada masa itu adalah saya tidak dilarang daripada menyebut perkataan ‘Allah’. Malah saya sangat digalakkan. Saya diajar menyebutnya dengan betul, malangnya lidah orang Dusun Sabah ni tak dapat menyebutnya dengan betul (hahahahahaha). Saya juga diajar menyebut ucapan untuk memeluk Islam. Ada di antara kawan-kawan yang agak bersifat fanatik berkata dengan menyebutnya maka saya sudah menjadi seorang Islam. Tetapi beberapa kawan yang lain membantah dengan mengatakan saya belum boleh dikatakan telah memeluk agama itu sebab itu belum disebut dengan niat hendak memeluk agama, belum dengan penuh pengertian dan bukan juga dengan seikhlas-ikhlas hati. Bila mereka melayan saya sedemikian, rasa hormat terhadap mereka semakin menebal.
Tetapi suatu hari rasa hormat yang mula menebal itu hancur sama sekali...
Seorang ustaz datang dan meminjam Bible yang ada pada saya. Kawan-kawan sebilik memberitahunya bahawa saya memiliki Bible. Saya dengan senang hati meminjamkan kepada ustaz tadi. Memang masa tu saya belum tau bagaimana membaca atau apa manfaat membaca Bible. Saya juga belum tahu bahawa ada kitab Kristian yang disebut sebagai ‘Alkitab’ pada masa itu. Sebenarnya, saya senang hati apabila kitab Bible itu diambil daripada saya sebab saya juga merasa sedikit segan hendak membuka apalagi membacanya dalam bilik asrama yang ada seramai lebih 30 orang penghuni. Jelas sekali kawan-kawan merasa ganjil, takut atau tidak merasa selesa dengan adanya Bible itu dengan saya. Masa tu saya sedikit hairan juga dengan sikap kawan-kawan yang sangsi dengan saya dan Bible yang ada pada saya. Jadi apabila Bible itu ‘dipinjam’ saya akui saya merasa lega sedikit. Kawan-kawan pun kembali rapat seperti biasa dengan saya.. Tapi kenapa membakar Bible saya??
Beberapa minggu berlalu. Saya sudah lupa tentang Bible yang telah dipinjam itu. Saya juga tidak mengambil tahu sangat. Pada suatu hari sewaktu melintasi rumah ustaz tersebut untuk ke sekolah, saya ternampak sebahagian daripada kulit Bible saya yang tidak terbakar. Gumpalan debu hitam masih berasap dengan kulit Bible di atasnya. Saya terkejut dalam hati. Sebahagian hati kecil saya berkata “Sekarang saya tak usah baca Bible ni lagi”. Tetapi sebahagian kecil hati saya pula berkata “Kenapa membakar Bible saya? Apa haknya membakar yang bukan miliknya..?" Saya tidak pun diberitahu yang saya tidak boleh ada Bible dalam locker saya. Kejadian itu membuat saya berfikir dan bertanya “Apakah yang ada dalam Bible sehingga ada orang yang takut kepadanya dan mahu pula membakarnya? Kenapa buku-buku lucah yang disembunyi kawan-kawan tidak dilaporkan kepada ustaz dan selepas itu dibakar? Kenapa banyak-banyak bahan jahat yang ada, Bible pula yang dibakar?” Kejadian itu telah membuat semakin mahu mencari kebenaran Tuhan. Sebab itu saya tidak membuang peluang untuk ke gereja setiap hari Ahad apabila saya pulang bercuti di Sabah sempena cuti panjang sekolah setiap hujung tahun.
Saya ingat dengan jelas pengalaman di suatu hari Jumaat. Kawan-kawan Muslim semua ke masjid. Kawan yang Hindu ke kuil. Saya kesunyian. Saya merasa tiada arah, erti dan tujuan hidup. Apa erti hidup ini? Kenapa saya ada dalam dunia ini? Keadaan saya lebih perih terasa apabila kawan-kawan Muslim mengatakam yang saya akan dibuang dan menjadi kayu api dalam neraka kekal apabila saya meninggal nanti sebab saya ini seorang “Kristian”. Kenyataan seperti itu membuat saya merasa sangat sedih. Hati kecil saya memberontak dan inginkan jawaban “Jadi untuk apalah hidup ini kalau akhirnya saya akan mati dan akan menderita di neraka? Untuk apakah semua perbuatan baik yang diminta daripada saya kalau akhirnya semua itu tidak akan menghasilkan apa-apa? Bukankah lebih baik saya hidup mengikut semau nafsu kerana akhirnya saya akan dibuang ke neraka? Adakah jalan keluar daripada keadaan ini? Adakah sesiapa yang dapat menolong saya untuk mengerti semua ini?” Saya semakin banyak berdialog dengan diri saya. Saya baru berumur sekitar 13 tahun ketika itu.
Saya tidak suka pada persoalan yang tidak terjawab. Satu “ujikaji” perlu dilakukan. Pembaca kena bertanya kepada saya secara peribadi apa “ujikaji” yang telah saya jalankan itu. Ada la sebab musabab kenapa itu tidak dapat ditulis dalam sini. :-)
Tetapi ujikaji itu membawa saya semakin dalam dalam kekusutan persoalan saya. Saya ingat lagi saya melutut menangis selepas membuat "ujikaji' itu dan berkata “Tuhan, siapakah Engkau? Siapakah saya ini? Untuk apa saya ada di dunia ini? Adakah saya akhirnya akan dibuang ke neraka? Untuk apakah hidup kalau akhirnya begitu? Tuhan, siapakah Engkau? Apakah jalan untuk datang kepada-Mu? Tuhan, saya tidak mahu mati sebelum saya tahu jalan yang benar untuk datang kepada-Mu. Kalau Islam jalan kepada-Mu, tolonglah supaya saya dapat menjadi seorang Muslim. Tetapi kalau jalan kepada-Mu ada di dalam Kristian, tolong saya untuk mengerti dan menjadi seorang Kristian yang sebenarnya. Saya tidak mahu mati sebelum berjumpa jalan kepada-Mu. Kalau nanti Tuhan tunjukkan jalan kepada-Mu, maka saya akan memberitahu semua orang jalan kepada-Mu terutama sekali kepada setiap orang yang berada di persimpangan iman seperti saya sekarang ini...”
Dipendekkan cerita, pada tahun 1984 saya telah ‘ditangkap’ oleh Tuhan. Sekarang saya cukup faham tentang Tuhan Allah yang kerana kasih-Nya yang begitu besar akan isi dunia ini telah menjadi seorang manusia (Yesus) untuk menyelamatkan manusia daripada hukuman neraka kekal dengan jalan mati di kayu salib bagi setiap orang berdosa (Yohanes 1:1-3, 14, 3:16).
Iman Kristian tidak mempersenda-sendakan sebutan 'Allah". Kami juga dilarang untuk menyebut nama Tuhan dengan sembarangan. Itu cukup jelas dalam Hukum 10 (Baca di Keluaran 20). Iman Kristian juga bukan menduakan atau mentigakan Tuhan. Iman Kristian percaya kepada Tuhan Allah yang maha berkuasa yang boleh melakukan apa sahaja menurut kerelaan kasih dan kuasa-Nya. Orang Kristian menyembah Tuhan yang Maha Esa. Tuhan Allah ini wujud dalam tiga penyataan diri yang disebut sebagai ‘Tri-Tunggal’ yang sebenarnya istilah itu tidak ada dalam Alkitab. Istilah ini dibuat manusia dalam usaha mahu mengerti lebih dalam lagi tentang Tuhan. Tetapi dalam usaha mahu mengerti, malangnya manusia lebih banyak dibingungkan dan tidak kurang pula yang tersandung dengan istilah itu sehingga orang-orang Kristian disebut sebagai menyembah “Tiga Allah”... Sebenarnya tidak. Orang Kristian hanya menyembah Satu Tuhan iaitu Allah yang Esa. Sebab siapakah yang dapat menyelami lautan Atlantik, Laut Cina Selatan dsb dsb dalam kemampuan sebagai seorang manusia biasa?? Inikan pula mahu menyelami Allah, Pencipta langit, laut, bumi bahkan seluruh alam semesta ini?? Nenek moyang kita saja kita sudah sukar untuk jelaskan asal usul mereka, inikan pula mahu menjelaskan tentang Tuhan Allah yang kekal? Fikir-fikirkanlah sejenak...
Ada seorang pujangga berkata “Tuhan Allah: Kalau hendak mengerti-Nya, kita akan kehilangan ‘kepala’ kita; kalau kita hendak membuang-Nya; kita akan kehilangan nyawa kita”.
Pada hari ini saya tidak perlu bersusah payah belajar cara sebutan “Allah” seperti yang cuba diajarkan kawan-kawan sewaktu di Tingkatan 1 dulu. Sebab Tuhan sebenarnya melihat ke dalam hati kita. Lagipun hari ini, apabila Roh Allah masuk ke dalam hati saya, maka Roh Allah dan roh saya bersama-sama berseru, “Ya Abba, ya Bapa”.. (Roma 8: 16)
Saya yakin Allah Bapa di syurga merasa sedih sebab sekarang ini ada segelintir manusia yang memandai-mandai cuba menghalang orang-orang percaya dariapada menggunakan istilah 'Allah'. Tetapi Dia tidaklah terlalu sedih sebab Dia merasa lebih sedap apabila kita memanggil-Nya “Bapa”. Tetapi kita hanya dapat memanggil-Nya “Bapa” apabila kita sudah memiliki Kristus dalam hati kita, sebab ada tertulis “barangsiapa menerima Dia, diberi-Nya kuasa untuk menjadi anak-anak Allah” (Yohanes 1:12)
Pada hari ini, apabila anda berada di persimpangan iman seperti yang pernah saya alami, maka pilihlah Kristus. Dia tidak akan pernah mengecewakan anda.
Apa kata mu?

2 comments:

IsOn said...

I have decided to follow Jesus. no turning back no turning back.

nerl said...

super LIKE!