Friday, March 20, 2009

Seperti layang-layang putus tali...

Siapakah yang tidak suka kepada layang-layang? Saya yakin semua orang sukakan layang-layang. Seawal berumur 6 tahun saya sudah bermain layang-layang bersama abang-abang dan kawan-kawan sekampung. Seronok sekali masa bermain layang-layang. Apa yang seronok saya ingat sekarang adalah proses pembuatan layang-layang. Kami tidak membeli layang-layang, tapi kami membuat layang-layang menurut citarasa masing-masing.

Kalau kami bermain, kami akan bertanding layang-layang siapakah yang dapat naik paling cepat ke tempat paling tinggi. Ada pula sewaktu-waktu layang-layang kami akan dilagakan di antara satu sama lain seperti burung-burung yang sedang berkelahi di angkasa.

Tetapi saya pernah tidak berpuas hati dengan layang-layang.. Saya merasa sedih sebab layang-layang tidak dapat bergerak dan terbang sendiri. Layang-layang sangat bergantung kepada angin, tali dan 'tuan'nya.

Saya ingat kata-kata seorang kawan rapat yang berkata "Pelayanan itu seperti menerbangkan layang-layang. Kita dapat beli layang-layang yang cantik atau membuat layang-layang yang cukup cantik dan megah.. tetapi kalau tidak ada angin, dapatkah layang-layang kita itu terbang? Kita dapat membuat layang-layang, tetapi dapatkah kita membuat angin? Sebagaimana dengan layang-layang yang tidak ada angin, demikian jugalah pelayanan yang tidak disertai dengan angin Roh Kudus... Saya sangat suka dan bersetuju dengan gambaran yang diberikannya..

Kehidupan dalam hubungan dengan Tuhan dalam Firman-Nya juga dapat diibaratkan dengan permainan layang-layang. Suatu waktu si layang-layang yang sudah naik tinggi di angkasa melihat pemandangan yang ada di bawahnya. Layang-layang melihat jauh. dan ternampak keindahan di tempat lain. Layang-layang teringin ke sana tapi tak terdaya kerada ada tali yang mengikatnya ke 'tuan' yang di bawah. Layang-layang mula merasa terkongkong. Layang-layang mula meronta-ronta mahu melepaskan diri. Akhirnya dia berjaya memutuskan tali ke tuannya. Untuk seketika layang-layang menarik nafas lega... "Wah, bebas...aku kini bebas. Bebas bak burung terbang..." Layang-layang menikmati udara bebas sekejap. Kemudian layang-layang cuba untuk terbang. "Eh, kenapa ni? Kenapa saya tidak dapat terbang semau saya? Kenapa saya mula hilang ketinggian? Tuan, tuan.. di mana ko?" Akhirnya layang-layang jatuh tersadai di atas semak berduri sehingga layang-layang yang cantik megah tadi kini koyak rabak dan patah....

Bila kita mahu hidup di luar kehendak Firman Tuhan, hidup kita akan berakhir seperti dengan layang-layang yang putus tali...

Anda ada gambaran lain yang lain yang dapat menolong sesama kita?

2 comments:

mmyabis-sigar said...

Hi Pastor,
found your blog through blog hopping :)!
Great!

Anonymous said...

gambaran anggur dgn pohon?